NAMSAHAZ Webhosting - Affordable webhosting for everyone!
Google
 

January 31, 2008

Soal Jawab Komputer

Apakah kepentingan Startup Disk dan bagaimana menggunakannya jika komputer kita tidak dapat memulakan Windows 95?

Startup Disk penting untuk memulakan komputer sekiranya komputer anda tidak dapat dimulakan (boot) seperti biasa. Gunakan ia untuk memeriksa masalah komputer anda. Cara menggunakanya: matikan komputer, masukkan disket Startup Disk ke dalam pemacu A:, dan hidupkan komputer. Ia sepatutnya akan memaparkan prom A:\> di skrin. Jika tidak, anda mungkin perlu mengubah `setting' dalam `BIOS Setup' agar membolehkan komputer anda dimulakan dari pemacu A:. Pada prom A:\> tersebut, anda bolehlah jalankan pemeriksaan dengan menaip SCANDISK C:. Selain `Startup Disk', disket yang dinamakan `Boot Disk', `Safe Disk' dan `System Disk', juga mempunyai fungsi yang hampir sama, iaitu untuk digunakan semasa komputer anda bermasalah. Anda juga boleh menyesuai gunakan (customize) disket tersebut menjadi sebagai disket pemula, khususnya untuk menjalankan permainan tertentu yang berasaskan sistem pengoperasian DOS.

Bagaimanakah caranya untuk saya meningkatkan komputer saya kepada teknologi MMX?


Untuk meningkatkan komputer anda kepada teknologi MMX, perkara asas yang perlu ditukar ialah cip pemprosesnya, iaitu daripada Pentium biasa kepada Pentium MMX 166MHz, 200MHz atau 233MHz. Perkara kedua ialah papan induknya (motherboard). Model papan induk akan menentukan samada ia perlu turut sama ditukar ataupun tidak. Untuk kepastian, anda perlu rujuk kepada buku manual yang datang bersama-sama dengan komputer anda sewaktu dibeli dahulu.

Bagaimanakah caranya untuk memformat sebuah cakera keras yang sudahpun ada perisiannya.

Untuk memformat sesebuah cakera yang sudah digunakan, katakan pemacu C:, anda perlu memanggil arahan format dengan menaip FORMAT C:. Arahan ataupun program untuk format ini biasanya terkandung di dalam disket `startup' (ataupun `boot' / `system') serta dalam direktori c:\dos ataupun c:\windows\command.

Bagaimanakah caranya jika hendak memformat sebuah cakera keras yang baru (belum digunakan).

Untuk memformat sebuah cakera keras yang belum pernah digunakan, anda perlulah terlebih dahulu memasangnya ke komputer, kemudiannya hidupkan komputer tersebut menggunakan disket `startup' dan seterusnya jalankan program atau arahan FDISK dari prom A:\>. Gunakan FDISK untuk mencipta partisi DOS (Create DOS Partition) yang utama ataupun yang tambahan (extended). Seterusnya komputer akan mengarahkan anda supaya mengulang-hidup (reboot). Kemudian gunakan disket `startup' itu sekali lagi untuk memformatnya seperti jawapan di atas

Adakah cache memory, MB RAM, kelajuan (speed) pemacu CD-ROM dapat dipertingkatkan? Dan kalau boleh, komputer atau perisian yang macam mana? Dan jika tidak boleh, mengapa?

Ingatan sementara (cache memory) boleh dipertingkatkan dan ia bergantung kepada papan induk (motherboard) yang digunakan. Biasanya tidak banyak papan induk yang menyokong peningkatan. Ingatan RAM pula biasanya boleh dipertingkatkan, malahan cip ingatan jenis itu mudah diperolehi di pasaran. Untuk kedua-dua jenis ingatan ini, anda harus merujuk kepada manual yang dibekalkan bersama komputer atau papan induk yang dibeli.
Terlalu sukar untuk menentukan komputer jenis apakah yang boleh dipertingkatkan ingatannya, kerana terdapat beratus-ratus jenis papan induk berlainan yang digunakan oleh pelbagai jenama komputer. Manakala kelajuan pemacu CD-ROM pula, tidak boleh dipertingkatkan kecuali dengan menukarkannya dengan yang baru. Mengapa? Ini adalah kerana setahu saya, setakat ini belum ada pembuat pemacu CD-ROM yang mencipta pemacu yang mampu dipertingkatkan kelajuannya. Peningkatan perkakasan komputer yang anda sebutkan tidak bergantung kepada jenis perisian yang digunakan.
Namun jika anda pertingkatkan keupayaan pemproses kepada yang lebih tinggi umpamanya Pentium, mungkin sesetengah perisian lama tidak dapat berfungsi dengan baik

Apakah maksud `cache memory'.

`Cache memory' bermaksud ingatan sementara atau sesetengah pihak memanggilnya sebagai ingatan para. Ingatan sementara adalah sejenis ingatan yang digunakan untuk meningkatkan prestasi komputer. Ia bertindak sebagai `orang tengah' di antara cip pemproses dan ingatan sebenar (ingatan jenis RAM). Data yang kerap digunakan oleh pengguna komputer akan disimpan di dalam ingatan ini, oleh itu capaian kepadanya akan menjadi lebih pantas, ini kerana ia berada `lebih dekat' dengan pemproses berbanding ingatan sebenar.

Apakah kegunaan `cache' ?

Ianya adalah satu ruang (cakera atau ingatan) yang dijadikan tempat untuk menyimpan data atau maklumat yang sering komputer gunakan ataupun yang terkini. Gunanya adalah untuk mempercepatkan proses capaian kepada bahan yang dikehendaki.

Saya memiliki sebuah komputer 486DX-33 di rumah dan hendak membuka sebuah program yang kehendak sistem adalah Pentium 90. Adakah ia boleh?

Komputer anda mungkin tidak mampu untuk membuka program tersebut. Jika dapat sekalipun, ia mungkin akan berjalan dengan dengan lembab sekali, tidak stabil dan akan mudah tergantung (hang).

Jika saya hendak menukar 486DX-33 kepada pemproses Intel Pentium, perlukah ia hendak menukar sebuah papan induk yang baru?

Sudah tentu anda memerlukan sebuah papan induk yang baru . Cip 486 adalah cip generasi keempat manakala cip Pentium adalah dari generasi kelima, dan mereka menggunakan senibina papan induk yang agak berbeza.

Bagaimanakah cara untuk memasukkan (install) CD-ROM ke dalam komputer dan berapakah kosnya?

Untuk memasang CD-ROM kepada komputer yang mempunyai sambungan IDE (biasanya komputer 486 dan Pentium dilengkapi penyambung IDE), mula-mula padamkan komputer anda dan bukalah penutup (casing) komputer serta pasangkan CD-ROM itu ke ruang panel yang masih kosong. Seterusnya hubungkan soket IDE ke CD-ROM tersebut menggunakan kabel data IDE. Sambungkan juga kabel punca kuasa (yang berwarna kuning-hitam-hitam-merah) dan kabel audio daripada kad bunyi (sound card).

Setelah pemasangan perkakasan (hardware) selesai, anda harus melakukan pemasangan perisian (software) pula. Pengguna perlu memasukkan fail pemandu (driver file) untuk CD-ROM terlebih dahulu sebelum ianya dapat berfungsi. Biasanya apabila anda membeli CD-ROM, ia akan disertakan bersama satu disket pemandu (driver disk). Oleh itu hidupkan komputer dan jalankan program `install' ataupun `setup' daripada disket tersebut dan proses pemasangan fail pemandu akan dilakukan secara automatik.
Akhir sekali ulang-hidupkan (reboot) komputer anda dan CD-ROM anda sepatutnya akan mula berfungsi. Harga sebuah CD-ROM biasanya bergantung kepada kelajuan dan jenamanya.

Ayah saya telah membeli sebuah komputer tiga tahun lepas dantelah menghantar ke pusat komputer untuk menukarkan programnya. Bagaimana untuk mengetahui program komputer ini seperti berapa megabaitnya dan sebagainya?

Untuk mengetahui kandungan cakera keras, iaitu apa-apa program yang ada dalam komputer anda, beserta dengan saiznya (berapa kilobait atau megabait) anda boleh memeriksa dengan cara berikut:

• Jika guna Windows 95, klik Start - Programs - Windows Explorer. Pada tetingkap (window) Explorer, ambil menu View - Details.
• Jika guna Windows 3.1 atau 3.11, klik berganda (double click) pada ikon `Main' dan klik berganda sekali lagi pada ikon `File Manager'.
• Jika guna DOS, taipkan pada DOS prompt, `DIR/p' dan senarai fail serta direktori akan dipaparkan.

Bagaimana hendak mencetak sesuatu sedangkan model pencetak tidak disertakan dalam senarai yang terdapat pada perisian grafik tertentu?


Cuba periksa di dalam buku manual yang disertakan bersama pencetak anda, jenis atau model pencetak yang boleh menggantikan model yang anda guna. Anda juga boleh memeriksa di dalam perisian yang diguna tersebut kalau-kalau ia boleh menyokong pencetak jenis standard. Sesetengah pencetak boleh menggunakan nama pencetak yang lain sebagai ganti terutamanya daripada jenama yang sama. Kesimpulannya, anda boleh mencuba dengan menggunakan nama model lain yang disertakan dalam perisian itu.

Bolehkah saudara memilih yang mana satu lebih pantas antara mikro pemproses Cyrix dengan Pentium (bukan teknologi MMX)?

Untuk membandingkan antara pemproses Cyrix dan Pentium kita haruslah mengambil kira `clock speed' setiap pemproses itu, seperti 133MHz, 166MHz, 150MHz atau 200MHz. Untuk `clock speed' yang sama, contohnya Intel Pentium 166MHz dan Cyrix 6x86 P166+, pemproses Cyrix dikatakan lebih laju sedikit daripada Pentium. Tetapi nilai ini adalah relatif, maksudnya kita tidak pasti samada ia lebih laju untuk operasi pengiraan aritmetik, perlaksanaan arahan grafik, pemprosesan perkataan atau sebagainya. Namun, walaupun agak lambat sedikit, pemproses Pentium dikatakan lebih stabil daripada pemproses lain.

Untuk meningkatkan keupayaan dari P120+ kepada yang lebih tinggi apakah memadai dengan hanya menukar cipnya sahaja tanpa menukar papan induk (motherboard)?

Ianya bergantung kepada jenis papan induk yang anda gunakan, iaitu samada ia menyokong atau tidak penggunaan pemproses yang hendak ditingkat upayakan. Rujuk kepada buku manual papan induk komputer anda (jika ada), bertanya kepada kedai komputer tempat anda membelinya ataupun tanyalah kepada kedai yang menjual cip pemproses dengan memberitahu model papan induk yang anda gunakan.

Sekiranya saya menambah 32 EDO RAM tetapi masih menggunakan prosesor P120+ adakah PC saya akan beroperasi lebih laju?

Jika kelajuan pemproses yang dipersoalkan, memang ia tidak melajukan. Tetapi dengan menambah RAM komputer, anda sebenarnya menambah ruang untuk komputer anda bekerja. Bayangkan jika anda bekerja dalam bilik yang sempit, tentu susah bukan? Dan apabila bilik tersebut diperbesarkan, tentu fikiran anda lebih lapang, barang-barang dapat disusun dengan lebih kemas dan teratur, seterusnya produktiviti akan meningkat! Begitulah juga dengan komputer, oleh itu dengan menambah RAM, komputer akan berupaya untuk mengeksploitasikan kepantasan pemproses dengan lebih baik terutama untuk mengendalikan kerja-kerja grafik. Bagaimanapun kepantasan operasi aritmetik tetap sama.

Saya membeli sebuah komputer klon, mengikut penjual ia adalah komputer PENTIUM 100MHz, 8MB RAM. Semasa memulakan (boot) komputer memang ia menunjukkan spesifikasi seperti yang dinyatakan. Tetapi apabila dibuat Diagnostik melalui MSD dan NC ia menunjukkan pemproses (processor) yang digunakan adalah jenis 486DX. Keterangan mana yang boleh diambil kira?

Memang, salah satu dugaan yang dihadapi oleh pembeli komputer klon adalah untuk meletakkan kepercayaan kepada penjual agar melakukan urusniaga dengan jujur. Semasa memulakan komputer, skrin akan memaparkan maklumat mengenai komputer seperti jenis pemproses, jumlah ingatan RAM, cakera keras dan sebagainya. Maklumat mengenai jenis pemproses pada skrin ini masih boleh diragui.

Ia sebenarnya berdasarkan konfigurasi `jumper' pada papan induk (motherboard) yang sepatutnya diselaraskan mengikut jenis dan kelajuan pemproses. Bagaimanapun kami tidak pernah berhadapan dengan kes di mana komputer Pentium dikenal pasti sebagai 486DX kecuali atas sebab kelemahan perisian yang menguji. Ini kerana sepanjang pemerhatian, Pentium 75 mungkin boleh `ditipu' sebagai Pentium 150, tetapi tidak 486.
Perisian yang anda gunakan untuk menguji seperti MSD dan NC mungkin telah tersilap lapor, perkara ini mungkin terjadi. Sepengetahuan kami, perisian Norton Diagnostic (NDIAG) dalam pakej Norton Utilities untuk Windows mampu mendiagnostik dengan lebih baik dan terperinci. Satu jalan yang paling muktamad untuk mengetahui apakah jenis pemproses komputer anda ialah dengan membuka kotak pelindungnya (casing) dan melihat sendiri cip CPU yang digunakan, ia biasanya akan dilindungi oleh kipas penyejuk kecil. Tapi awas, padamkan komputer dan cabut palam (plug) dahulu!

Saya mempunyai komputer yang menggunakan pemproses Cyrix 6x86(M1) -P166+. Apakah kesannya jika saya memasukkan (install) satu program permainan (game) yang memerlukan pemproses Pentium?

Tidak ada kesan yang boleh memudaratkan komputer anda (sepanjang pengetahuan kami), cuma mungkin, kalau perisian permainan itu betul-betul degil mahukan pemproses Pentium, maka anda tidak dapatlah menggunakan permainan itu.

Saya telah install DirectX 3 ke dalam komputer saya. Jika saya hendak masukkan permainan yang memerlukan DirectX 2, apa yang perlu saya lakukan?

Terdapat permainan yang tidak ambil kisah sekiranya versi DirectX yang lebih baru digunakan untuk menjalankannya. Dalam kes ini anda tidak perlu memasukkan DirectX 2. Tetapi kadang-kadang ada juga perisian yang agak tidak serasi (compatible) dengan DirectX versi yang lebih baru. Dalam keadaan ini, anda kenalah membuang (uninstall) DirectX 3 dan memasukkan DirectX 2.

Bagaimana hendak menghilangkan (delete) sesuatu program jika ia tidak mempunyai `uninstall'?

Sesetengah perisian tidak dibina dengan agak baik dan ramah pengguna (user friendly), dan harus dipadamkan secara manual jika ingin membuangnya. Untuk memadamkannya secara manual, anda mungkin perlu mencari direktorinya di dalam cakera keras (hard disk) melalui Explorer (Windows 95) atau File Manager (Windows lama) dan membuangnya dari situ.

Terdapat beberapa perisian di pasaran yang boleh membantu anda dalam hal ini. Salah satunya ialah CleanSweep yang bertindak mengawal sebarang `setup' atau `install' yang dilakukan pada komputer anda. Ia akan merekodkan semua perubahan yang berlaku semasa proses pemasangan perisian dan memastikan tidak ada satu fail pun yang terlepas.
Apabila anda ingin membuang sesuatu perisian, panggilkan `wizard'nya dan ... semuanya hilang. Seringkali ia lebih baik daripada `uninstall' yang dibekalkan bersama sesetengah perisian, kerana ia lebih `jujur' dan tidak meninggalkan sebarang saki baki.

Adakah setiap pembeli komputer akan diberi program (Windows 95) yang original dan dibekalkan dengan disket Windows 95 sebagai kecemasan jika program tersebut hilang?

Jika anda membeli komputer klon, anda mungkin tidak dibekalkan program Windows 95 yang asli. Tetapi rujuklah dahulu kepada senarai harga dan spesifikasi komputer anda. Jika ada dinyatakan dengan jelas bahawa komputer anda ditawarkan bersama perisian asli seperti `pre-installed', `pre-loaded' dan sebagainya, anda sepatutnya dibekalkan dengan perisian yang asli.

Bagaimanapun anda tidak semestinya diberi disket ataupun CD, ini kerana anda perlu `hasilkan' (create) sendiri disket tersebut. Jika anda dibekalkan dengan sistem komputer yang `pre-installed' dan `pre-loaded', anda sepatutnya diberi sebuah buku kecil bersama `Authentification Certificate' dan penampal (sticker) yang bertulis Windows 95 disk 1 hingga disk 29. Untuk menghasilkan `installation disk' anda perlu pergi ke Start Menu - Programs - Accesories - Create System Disk. Sebenarnya program asal ada disimpan di dalam direktori c:\windows\options\cabs.

Bagaimanakah saya ingin menggunakan fail berjenis *.zip. Saya diberitahu supaya `unzip' fail tersebut dengan menggunakan perisian DOS. Bagaimanakah saya ingin meng`unzip' fail tersebut?

Fail jenis *.zip adalah fail yang dipadatkan supaya menjimatkan ruang cakera khususnya untuk proses pemindahan ataupun pengedaran sesuatu perisian. Untuk menggunakannya anda perlu mendapatkan program PKUNZIP (untuk DOS) atau WINZIP (untuk Windows 95). Jika anda menggunakan DOS, arahan yang perlu anda taip ialah seperti berikut : PKUNZIP namafail.zip Pastikan PKUNZIP berada di dalam laluan (path) yang sesuai dan dipanggil dari direktori di mana anda hendak pasangkan (install) perisian *.zip berkenaan. Sekiranya anda menggunakan Windows 95, klik berganda pada fail *.zip dan WINZIP secara automatik akan muncul bersama menunya.

Berapa harga untuk menukar dari 486 kepada Pentium. Adakah perlu untuk menukar bahagian- bahagian lain selain daripada papan induk (motherboard) dan mikro pemproses (microprocessor)?

Untuk bertukar daripada 486 kepada Pentium, anda tidak perlu menukarkan bahagian-bahagian lain kecuali jika anda mempunyai kad memori jenis yang tunggal, contohnya 8MB atau 16MB sekeping. Papan induk Pentium memerlukan anda menggunakan modul memori secara berkembar/berpasangan. Harga semasa untuk papan induk dan mikropemproses Pentium adalah sekitar RM420 (Pentium 120MHz) dan ke atas.

Bolehkah kelajuan CD-ROM dipertingkatkan?

Buat masa sekarang, satu-satunya cara untuk mempertingkatkan kelajuan CD-ROM ialah dengan membeli pemacu (drive) yang baru.

Saya menggunakan CD-ROM 4X keluaran jenama Acer. Masalahnya ialah CD lagu nyanyian, yang saya gerakkan melalui Windows 95 dari CD-ROM jenama ini tidak dapat berfungsi dengan sempurna, iaitu tidak mengeluarkan suara sedangkan pada `CD Player' nombor digitalnya bergerak. Akan tetapi program-program lain selain dari CD lagu seperti program AlQuran, Chess Mates dan CD Video dapat berfungsi dengan baik. Yang menghairankan saya, mengapa semasa saya menggunakan CD-ROM ini, saya gerakkan melalui Windows 3.1 boleh beroperasi dengan baik termasuklah CD lagu dapat mengeluarkan suaranya dan dapat dimainkan bersama program-program lain. Untuk makluman tuan, saya telah berjumpa dengan beberapa kedai komputer, tetapi masalah saya ini tidak dapat di atasi.

Masalah komputer anda ialah CD-ROMnya tidak dapat memainkan bunyi format audio yang dihasilkan dari pemacu CD-ROM. Ianya agak rumit bagi pihak kami menyelesaikannya, lebih-lebih lagi bila anda menyatakan bahawa beberapa kedai komputer yang anda jumpa juga tidak dapat mengatasinya. Bagaimanapun, anda boleh periksa beberapa perkara. Pertamanya, pastikan kabel audio (di sebelah dalam komputer) daripada pemacu CD-ROM ke kad bunyi (sound card) anda disambung dengan baik. Cuba tukarkannya dengan kabel yang lain, dan juga cuba sambungkan ke set pin yang lain pada kad bunyi (pin untuk Sony/Panasonic/Mitsumi/...). Cuba jadikan CD- ROM anda sebagai `master' dan guna IDE2, iaitu berasingan IDE daripada cakera keras.

Keduanya, pastikan konfigurasi Windows 95 untuk CD-ROM dan output audio adalah betul. Dalam `Volume Settings' pastikan tidak ada tanda (check) pada `mute' di bahagian CD Audio. Satu pilihan terakhir yang kadang-kadang boleh diharap ialah dengan memadamkan fail-fail yang berkaitan dengan kad bunyi dan CD-ROM. Kemudian pasangkannya (install) semula program-program untuk audio, `driver' untuk kad bunyi dan pemacu CD-ROM, atau mungkin pasang semula Windows 95!

Saya ingin upgrade komputer saya. Bolehkah saya upgrade sendiri, bermakna saya beli komponen komputer kemudian saya pasang sendiri?

Boleh. Anda boleh tingkatkan keupayaan komputer anda dengan memasang sendiri, tetapi sebaiknya ada sedikit pengetahuan tentang elektrik. Pastikan juga anda tahu apa komponen yang hendak ditukar.

Saya mempunyai komputer jenis 8088. Perlukah saya upgrade komputer tersebut atau perlu saya membeli yang baru?

Komputer 8088? Kami fikir ia sudah boleh dikategorikan dalam kumpulan komputer antik. Jika anda ingin upgrade, komponen yang boleh diguna semula mungkin hanyalah papan kekuncinya (key board) sahaja. Pemacu disket (floppy drive) yang ia gunakan mungkin hanya untuk disket `low density (2DD)' dan bukan `high density (2HD)' yang boleh menyimpan 1.44MB data. Monitornya juga mungkin dari jenis CGA/EGA dan bukan VGA/SVGA. Jika anda masih ingin menggunakan khidmat komputer itu, paling jauh ia boleh dipertingkatkan kepada komputer 386 sahaja - tidak berbaloi. Lebih baik beli yang baru.

Saya ingin upgrade komputer menjadi AMD-K6 233MHz MMX. apa pendapat saudara tentang hal ini?

Jika anda berkemampuan, kami fikir tidak rugi jika anda berbuat demikian. Dalam dunia komputer, ramai yang berpendapat apa yang canggih hari ini akan ketinggalan zaman dalam masa tiga bulan lagi. Jika hari ini komputer yang paling rendah `kelas'nya dipasaran adalah Pentium 166, kami fikir pada penghujung tahun ini, Pentium 200 (tanpa MMX) akan menduduki tempat itu.

Bolehkah saya menggunakan dua pemacu CD-ROM dalam satu komputer? Jika jawapan ya atau tidak terangkan mengapa demikian?

Secara teorinya, boleh. Anda boleh menggunakan dua peranti (device) pada satu IDE. Oleh kerana kebiasaanya komputer sekarang memiliki dua pengawal (controller) IDE, maka anda boleh menggunakan empat peranti dalam satu masa. Peranti yang boleh anda gunakan ialah samada cakera keras ataupun pemacu CD-ROM. Ini bermakna, pada maksimumnya anda boleh memasang 1 cakera keras 3 CD-ROM, 2 cakera keras 2 CD-ROM atau 3 cakera keras 1 CD-ROM. Jika tidak cukup, anda boleh gunakan pengawal SCSI.

Saya ingin membeli scanner. Yang manakah jenama paling baik untuk saya beli?


Kami tidak dapat menyatakan jenama apa yang terbaik, namun untuk panduan anda, pilihlah pengimbas (scanner) muka penuh (full page) yang mempunyai resolusi dan dpi yang tinggi.

Saya mempunyai komputer dengan paparan monitor monochrome. Jika saya menggunakan pencetak warna, bolehkan saya mencetak dengan imej warna tanpa menukarkan monitor saya?

Boleh.

Saya mempunyai komputer dengan sistem lama iaitu sistem 386SX 33MHz, dengan paparan monitor monochrome. Jika saya ingin menggunakan monitor warna, adakah kad Herculers Incolor Card boleh digunakan untuk monitor warna saya nanti?

Kad yang anda maksudkan mungkin kad jenis lama. Sesetengah kad lama boleh menggunakan monitor warna tetapi kebanyakannya hanya mampu memaparkan 4 atau 16 pelet warna sahaja. Sedangkan kebanyakan perisian aplikasi sekarang termasuk untuk CD video memerlukan 256 pelet warna. Kami nasihatkan anda bawa dan ujilah kad tersebut di kedai komputer sebelum membeli monitor warna.

Saya memiliki komputer pemproses Pentium 133 dan menggunakan sistem pengoperasian Windows 95. Setelah saya melakukan Scandisk, terdapat kerosakan di dalam cakera c: dan telah ditandakan dengan nama FILE0001 sehingga FILE0006. Kenapa dan bagaimana ia terjadi.

Kerosakan (errors) pada fail di dalam cakera keras komputer adalah sesuatu yang biasa berlaku dan memerlukan pemeriksaan yang kerap. Keadaan bekalan elektrik yang tidak stabil dan mempunyai kelemahan `random electrical noise' adalah antara punca utama masalah tersebut. Ia juga mungkin disebabkan oleh perbuatan menutup (off) komputer sesuka hati tanpa `shut down' dengan betul kerana ia mengakibatkan terjadinya satu kejutan elektrik kecil kepada cakera keras dan boleh merosakkannya.

Bagaimanapun, kadang-kadang virus juga boleh bertindak seperti itu.Masalah seperti ini dapat dikurangkan dengan memasang `Auto Voltage Regulator' (AVR) ataupun `Uninterruptable Power Supply' (UPS). AVR boleh digunakan untuk menstabilkan voltan bekalan elektrik manakala UPS boleh diguna untuk menyediakan bekalan elektrik sokongan sementara (selama beberapa minit atau jam) semasa bekalan elektrik terputus.

Bolehkah saya memadamkan fail-fail yang dihasilkan oleh Scandisk dan adakah terdapat kesan sampingan terhadap sistem yang saya gunakan (Windows 95).

Fail-fail itu diwujudkan supaya, sekiranya bahagian cakera keras yang rosak itu mengandungi data atau maklumat yang penting maka anda masih boleh menyelamatkannya. Kandungan fail tersebut boleh diperiksa dengan membukanya menggunakan Notepad. Kebiasaannya jika dipadamkan, ia tidak memberikan sebarang kesan sampingan. Bagaimanapun sekiranya terdapat kerosakan ditemui oleh Scandisk atau Norton Disk Doctor (Norton Utilities) dan kemudian selepas itu ada program-program yang tidak boleh dijalankan, anda mungkin perlu memasangnya (install) semula.

Apakah dia `Bad Sector'?


`Bad Sector' merujuk kepada sektor atau bahagian pada cakera (disk) yang telah rosak, biasanya secara fizikal. Antara punca-punca yang menyebabkannya samalah seperti yang telah disebut di dalam soalan sebelumnya (rujuk di atas). Kerosakan fizikal ini juga boleh disebabkan oleh hentakan yang kuat pada cakera, misalnya jika terjatuh ataupun terdedah kepada medan magnet yang tinggi. Berbanding `file error', `bad sector' biasanya bersifat kekal dan tidak dapat dihilangkan. Dalam sesetengah kes, ianya dapat dihilangkan dengan membuat `low level format'. Tetapi langkah ini ada risikonya kerana ia akan menghilangkan kesemua data pada cakera keras, dan ada kemungkinan cakera keras anda tiada dapat digunakan jika tidak kena caranya.

(sumber internet)

NAMSAHAZ Webhosting - Affordable webhosting for everyone!