Utusan Malaysia: MENERUSI perisian yang melalui penambahbaikan menyeluruh, Adobe Systems Inc. baru-baru ini telah mengumumkan pelancaran perisian terbarunya Adobe Director 11 yang merupakan aplikasi perisian multimedia terkini.
Perisian tersebut membariskan pelbagai kandungan yang fleksibel dan mudah untuk digunakan dalam mencipta aplikasi interaktif, permainan video mahupun komputer, e-pembelajaran dan produk simulasi.
Perisian lengkap itu dikatakan sesuai digunakan bagi golongan seperti pengarang multimedia, juruanimasi dan pembangun multimedia.
Dalam pada itu, menerusi perisian tersebut atau gabungan dengan aplikasi Adobe Shockwave Player, pengguna kini mampu mencipta dan menerbitkan kandungan untuk laman web, cakera padat, cakera DVD dan komputer meja secara serentak.
Kehadiran perisian Director 11 juga membolehkan pengguna untuk memasukkan fail SWF Adobe Flash ke aplikasi projek perisian tersebut untuk dimainkan menerusi pemain Shockwave dan boleh diedit melalui perisian Profesional Adobe Flash CS3.
Ini membuktikan perisian yang ditambah baik itu boleh diselaraskan dengan perisian keluaran Adobe yang lain.
Selain itu, Director 11 turut membolehkan pencipta kandungan multimedia mempelbagai kreativiti rekaan 3D melalui ciri Ageia PhysX.
Director 11 juga didatangkan dengan ciri baru yang memperlihatkan sokongan kepada teknologi Adobe Flash 9 dan ‘bitmap filters dalam memudahkan proses pengubahan kontras pada imej ataupun teks.
Perisian lengkap Director 11 tersebut kini boleh didapati di pasaran tempatan dengan harga runcit yang ditawarkan pada RM4,159.
Bagi pengguna yang ingin mendapatkan maklumat serta spesifikasi lengkap boleh didapati dengan melayari laman web www.adobe.com/products/director.
April 04, 2008
Perisian multimedia terkini
Di update oleh Jasman at 8:19 AM